Blog Utama Saya :-

Rabu, 15 Oktober 2014

Kitab Tauhid Yang Tersohor di Tanah Melayu dan juga Fathoni - Fariidah al-Faraaid fii Ilm al-‘Aqaaid




Kitab Tauhid Yang Tersohor di Tanah Melayu dan juga Fathoni - Fariidah al-Faraaid fii Ilm al-‘Aqaaid 

Data ringkas kitab:

Judul: Fariidah al-Faraaid fii Ilm al-‘Aqaaid
(فريدة الفرائد في علم العقائد)
Kategori: Tauhid
Pengarang: Al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani
Tarikh selesai dikarang: 12 Rabi’al-Awwal 1313H/1895M di Makkah.

Kitab ini dikarang oleh seorang ulama besar dari dunia Melayu yang bermustautin di Mekah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani. Kitab ini membicarakan ilmu tauhid atau usuluddin berdasarkan kepada aqidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, metod Imam Abu Hasan al-‘Asy’ari. Rujukan kitab ini adalah berdasarkan kitab-kitab turats yang dapat diperpegangi, samada dari ulama mu’tabar dunia Melayu mahupun ulama mu’tabar dari Timur Tengah.

Kitab ini selesai beliau tulis pada hari itsnin, 12 Rabi’al-Awwal 1313H pada waktu Dhuha. Kitab ini mempunyai pengaruh yang besar di Wilayah Fathani, Kedah dan Kelantan. Oleh kerana masyhurnya kitab Faridah ini, maka pengarangnya telah digelar dengan nama ‘Tuan Faridah’. Kebanyakkan para ulama atau tuan-tuan guru pondok akan megajarkan kitab ini untuk silibus tauhid. Bahkan dikatakan bahwa kitab ini tiada tandingannya dari sudut kemasyhurannya. Mereka juga mengatakan bahwa pada kitab ini mempunyai erti yang tersirat baik ditinjau dari segi susunan nahwu dan sharafnya maupun dari segi penafsiran secara bathin atau rahsia. Sehingga kini kitab ini dipelajari dan ditekuni oleh penuntut ilmu di pondok-pondok, masjid mahupun surau.

Kitab ini pernah diringkaskan oleh Tuan Guru Haji Nik ‘Abdullah al-Jambu Fathani, dan diberi nama Pati Rahsia. Ia juga pernah disyarahkan oleh seorang ulama Fathani yang bernama Tuan Guru Haji ‘Abdullah bin Haji Ibrahim bin ‘Abdul Karim al-Fathani al-Jabi, dan diberi judul ‘Umdah al-Thalib al-Mujtahid fii Syarh Fariidah al-Faraaid. Kitab syarah ini ditashhihkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji ‘Abdul Wahhab al-Fusani. [1902 – 1996. Murid Pa’ Da El al-Fathani al-Makki].

Kitab ini juga telahpun dirumikan oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah (beliau adalah cucu pengarang kitab dari sebelah ibunya iaitu Wan Zainab bin Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani), dan diberi judul Faridatul Faraid – Syeikh Ahmad al-Fathani – Aqidah Ahlus Sunnah wal Jammah Yang Sejati dan diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah.

Untuk menyemarakkan kembali tradisi ilmu berdasarkan kepada turats ulama dunia Melayu, maka pihak Khazanah al-Fathaniyah telah mengusahakan projek Wakaf Kitab, dimana dikitab ini boleh dibeli dan kemudiannya diserahkan kembali untuk diwakafkan ke pondok-pondok pengajian di Malaysia, Fathani dan Kemboja.

Cetakan awal kitab ini ialah pada tahun 1313H oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Ini bermakna kitab ini sudah berusia 122 tahun. Namun ianya masih segar, relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan kepada generasi kini didalam ilmu aqidah.

Sedutan dari kitab:-

Pada bahagian kulit kitab:
"Ini risalah yang amat kecil yang dinamakan dia dengan FARIDAH AL-FARAAID FII ILM AL-‘AQAID pada bicara tauhid iaitu ilmu ushuluddin atas mazhab Imam Asy’ari. Berhimpun padanya beberapa banyak ‘aqidah dan beberapa masalah yang tak dapat tiada bagi tiap-tiap orang yang mukallaf daripada mengetahui akan dia dan i’tiqad akan dia, istimewa bagi orang yang baharu belajar pada ilmu ini bahkan ia peringatan bagi orang yang pertengahan padanya. Dan adalah ia risalah yang suci daripada segala campuran bicara yang lain daripada ilmu ini dan bersih daripada segala ‘ibarat yang lebih-lebih, maka mudah mengertikan dia ان شاء الله تعالى atas yang mengajinya dan yang muthala’ahnya. Himpunan hamba yang sangat harap daripada Allah Ta’ala akan taufiq dan hidayah. Dan bahwa dimudahkan baginya segala yang payah.

Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa bin Muhammad al-Fathani خضر الله تعالى رياض رجاه ببلوغ الأماني.
ونفع بهذه الرسالة المسلمين آمين

Bahgian muqaddimah kitab

بسم الله الرحمن الرحيم. Puji itu bagi Allah, yang menaikkan pada beberapa langit segala hati orang mu’minin, akan beberapa matahari pengenalan. Padahal cemerlang ia dengan cahaya tauhid dan yaqin.

Dan rahmat dan sejahtera atas juru bahasa ketuhananNya dan yang menu[n]juk kepada keEsaanNya [iaitu] penghulu kita Nabi Muhammad [صلى الله عليه وآله وسلم] yang dibangkitkan dengan mu’jizat yang mengalahi kerana me[ng]uatkan risalahNya dan membenarkan penu[n]jukNya.

Dan atas keluargannya yang sampai mereka itu kepada beberapa pangkat yang tinggi dengan ketinggian kadarnya. Dan segala taulannya [shahabatnya] yang gilang-gemilang, hal keadaan mereka itu seperti segala bintang penu[n]juk dengan nash sabdanya.

Kemudian dari itu, maka inilah risalah pada ilmu tauhid, aku himpunkan dia daripada beberapa kitab yang dii’tibarkan. Aku ambil daripada kebunnya akan buah-buahan yang diinginkan dan daripada beberapa lautnya akan beberapa permata yang megah.

Maka datang ia dengan kepujian Allah Ta’ala iaitu ‘aqidah yang sebenar yang elok cahayanya, lagi mengandung i’tiqad ahli sunnah. Dan ketetapan penu[n]juk yang diam pada hati orang yang mu’min. aku lindungkan dia dengan Allah Ta’ala daripada i’tiradh yang diserupakan dengan syaitan………..

Marilah kitab kembali menekuni kitab turats tulisan ulama alam Melayu. Disana ada ilmu yang tersurat dan tersirat...........

sekian dari,
abuzahrah al-qadahi









Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka










Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain




Kitab: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain

Data ringkas kitab:

Judul: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain (Tempat terbit dua bulan purnama dan tempat berhimpun dua laut)

Kategori: Fiqih

Pengarang: al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik (wafat di Mekah tahun 1333H/1914M)

Tarikh selesai dikarang: 12 Sya’ban 1303H/16 Mei 1886M

*******************

Merupakan antara kitab fiqih yang paling terkenal di Tanah Melayu. Ditulis oleh al-'Alim al-'Allamah Syaikh Wan Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad bin Wan Idris bin Wan Tih bin Syaikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani. Atau dikenali juga dengan nama Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani atau Muhammad Shaghir al-Fathani (di kalangan orang ‘arab) atau Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani dikalangan orang Melayu di Mekah. Beliau adalah cucu saudara kepada al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Kitab ini pernah dijadikan teks pengajian ilmu fiqih sekolah-sekolah agama di negeri Johor. Oleh kerana kitab ini terlalu banyak dipergunakan, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Maka tersusunlah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla'ul Badrain oleh Haji Abdul Ghani Yahya, antara murid kepada Tok Kenali. Di tulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941M. Kamus ini khusus terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu, maka dapat membantu pelajar dalam memahami perkataan-perkataan atau istilah-istilah yang terdapat didalam kitab Matla’ al-Badrain. Hanya Mathla’ al-Badrain kitab Melayu/Jawi yang ditulis kamus.

Kitab Mathla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain, selesai ditulis pada 12 Syaaban 1303H/1885M. Cetakan pertama dan keduanya tidak ditashihkan, maka keduanya ternyata banyak kesalahan sususan kalimatnya yang dilakukan oleh pihak pencetak. Manakala cetakan ketiga dan keempat telah ditashih oleh al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Jika diteliti, model penulisan Mathla’ al-Badrain dari pelbagai aspek, dapat diklasifikasikan sebagai penulisan klasik ilmiah. Contohnya, pada banyak tempat digunakan nota kaki, istilah orang Melayu zaman dulu dinamakan ‘dhabit’. Akhir setiap sesuatu dhabit ada yang digunakan istilah ‘Muallif’ maksudnya ‘pengarang’. Pada konteks Mathla’ al-Badrain maksudnya ialah Syaikh Nik Mat Kecik. Pada tempat lain digunakan istilah ‘Mushahhihahu’, maksudnya ‘pentashihnya’. Pada konteks Mathla’ al-Badrain maksudnya ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada setiap penghabisan dhabit, Syaikh Nik Mat Kecik menyebut nama kitab yang beliau rujuk. Kitab Melayu/Jawi yang disebut ialah Sabil al-Muhtadin, tetapi Sabil al-Muhtadin hanya disebut pada ibadat. Kitab Arab lain seperti Fath al-Wahhab, Bujairimi ‘ala Fath al-Wahhab.

Di antara kitab yang menjadi rujukan pengarang ketika mengarang kitab ini adalah:

~ Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj at-Thullab oleh Syaikhul Islam Abi Yahya Zakaria al-Anshari
~ I’anah at-Tholibin oleh Sayyid Abu Bakr ibn Muhammad Syata ad-Dimyati, yang masyhur dengan nama Sayyid al-Bakri Syata
~ Bujairimi ‘ala Khatib oleh Syaikh Sulaiman al-Bujairimi
~ Mughni al-Muhtaj oleh Syaikh Muhammad ibn Ahmad asy-Syarbini al-Khatib
~ As-Siraj al-Wahhaj Syarh ‘ala Matn Minhaj oleh Syaikh Muhammad az-Zahri al-Ghamrawi
~ Hasyiah al-Bajuri oleh Syaikh Ibrahim al-Bajuri
~ Kifayatul Akhyar oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad

Kitab Matla’ al-Badrain telah dirumikan dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri) pada tahun 1413H/1993. Ianya telah disusun semula dan menggunakan bahasa yang moden dan mudah supaya senang difahami. Tajuk-tajuknya pula diasingkan dengan perenggan-perenggan dan fasal-fasal yang bernombor serta tajuk-tajuk ringkas ditepinya (nota birai) untuk kemudahan rujukan.

Menurut Tuan Haji Hasan bin Haji Ahmad (kini Dato’ dan mantan mufti Pulau Pinang) pada kata alaun pentashih terjemahan [transliterasi] kitab Matla’ al-Badrain terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan: "Semasa saya mentashihkan draf akhir kitab ini, saya berpandukan pengalaman dan ilmu yang cetek yang ada pada saya serta merujuk kepada beberapa buah kitab yang mu’tabar, antaranya:
1. Syeikh Sulaiman al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj, 4 juzu’ (Misr: Maktabah Musthafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu, 1369H/1950M)
2. Syeikh Ibrahim al-Bajuri, Hasyiah al-Bajuri, 2 juzu’ (Surabaya/S’pura: Sulaiman Mara’i, t.t)
3. Al-Qalyubi dan Umairah. Hasyiyatain ‘ala Syarh Jalaliddin al-Mahallai ‘ala Minhaj at-Talibin. 4 juzu’. (Misr: Maktabah Musthafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu, 1375H/1956M)
3. Muhammad asy-Syarbini al-Khatib. Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ (S’pura: Maktabah Sulaiman Mara’i, t.t)

Daripada rujukan-rujukan yang dibuat, jelas bahawa Pengarang (Musannif) asal kitab ini memetik dan menterjemahkannya daripada beberapa buah kitab yang mu’tabar sepertimana yang diakui sendiri oleh beliau di bahagian muqaddimahnya, maka nilai kitab ini [kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain] juga adalah mu’tabar." - tamat petikan.

Allahyarham Dato’ Syaikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar, seorang ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, telah menulis kitab bertajuk Matla’ al-Nurain Untuk Menghuraikan ‘Ibarat Kitab Matla’ al-Badrain. Dimana kitab ini memudahkan ‘ibarat yang kusut dan uslub yang payah didalam kitab Matla’ al-Badrain, yang tidak dapat difahami maksudnya oleh kebanyakkan generasi kini.

Begitu juga Pejabat Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, menerbitkan kitab Tahqiq Matla’ al-Badrain.

Kitab ini juga bukan sekadar masyhur di Tanah Melayu tetapi juga di Negara Brunei Darussalam. Ini dapat dilihat pada ucapan di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji Kali Ke-13 Bagi Musim Haji 1427H/2006M (pada hari Selasa, 12/7/2006 Di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan) oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negera Brunei Darus Salam: "Kitab yang sudah menjadi pegangan kita di Negara Brunei Darussalam di dalam menunaikan rukun Islam, yang juga menjadi amalan dan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah Kitab Mathla'ul Badrain yang mana sebahagian permasalahan dalam kitab tersebut telah dipermudahcarakan untuk membaca dan memahaminya melalui beberapa siri dalam Kitab Zainut Thalib iaitu hasil usaha dan gubahan Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama."

Walaupun usia kitab ini sudah menjangkau lebih dari 132 tahun, namun ianya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini di dalam bidang fiqih.

Sekian dari
abuzahrah al-qadahi
http://pustaka-alfanshuri.blogspot.com/




Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka








Hidaayah al-Saalikiin fi Suluuki Maslak al-Muttaqiin




Data ringkas kitab:

Judul: Hidaayah al-Saalikiin fi Suluuki Maslak al-Muttaqiin
(هداية السالكين في سلوك مسلك المتقين)
Kategori: Tasawuf
Pengarang: Al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani
Jumlah halaman: 115 halaman [ini versi cetakan milik al-faqir. Cetakan Matba’ah Musthafa al-Bab al-Halabi wa Auladuhu, Mesir; Jumada al-Tsani 1341H. Versi ini ditashhiihkan oleh al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada cetakan ini digabungkan dengan kitab al-Durr al-Nafis dibahagian tepi kitab]
Tarikh selesai dikarang: 1192H/1778M

Karya agung tasawwuf yang sangat terkenal dan berpengaruh di Nusantara ini, dikarang oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani. Walaupun usia kitab ini sudah mencecah hampir 243 tahun, namun ianya masih tetap dikaji dan dipelajari di Nusantara. Ianya masih diajar dimana-mana, walaupun ada usaha untuk mengharamkan kitab yang bermanfaat ini. Isi kandungnya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini.

Ada yang mengatakan bahwa kitab ini adalah terjemahan bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, namun bagi al-Faqir asasnya sahaja daripada kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, tetapi dalam menghuraikannya pengarang telah merujuk lebih daripada 20 buah kitab. Maka pada al-Faqir selayaknya kitab ini dikatakan syarh bagi Bidayah al-Hidayah.

Antara kitab yang menjadi rujukan pengarang adalah: Minhaj al-‘Abidin - Imam al-Ghazali; Ihya` Ulumiddin - Imam al-Ghazali; Al-Arbain fi Usuliddin - Imam al-Ghazali; Al-Yawaqit wa al-Jawahir - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Durar al-Jawahir - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; ‘Uhud al-Muhammadiah - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Hikam Ibn ‘Athoillah; Ghaits al-Mawahib al-‘Aliyah fi Syarh al-Hikam al-‘Athoiyyah - Ibn ‘Abbad; Miftah al-Falah - Ibn ‘Athoillah; Al-Tanwir fi Isqati al-Tadbir - Ibn ‘Athoillah; Al-Durruts Tsamin - Habib ‘Abdul Qadir al-‘Aidarus; ‘Umdah al-Muhtajin - Syaikh ‘Abdurrauf al-Fanshuri; ‘Awariful Ma’arif – Sahruwardi; Risalah al-Qusyairiyah – Syaikh ‘Abdul Karim al-Qusyairi; ‘Urwatul Wuthqa – Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani; Nafahat al-Ilahiyyah - Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani; Bustan al-‘Ariffin – Syaikh Ahmad al-Qusyasyi; Iqadz al-Qawabil – Syaikh Ibrahim al-Kurdi; Nashoih al-Diniyyah – Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad; Syarh Bidayah al-Hidayah – Syaikh ‘Abdul Qadir al-Faqihi; Al-Tarsyih fi Shalat al-Tasbih – Syaikh Tajuddin al-Subki; Syarh al-Raudhah – Syaikh Zakaria al-Anshari; Syarh Matn Jauharah al-Tauhid – Syaikh Abdul Mu’ti; Minhaj al-Salik – Syaikh ‘ali al-Mursafi. [maklumat ini dipetik dari buku Syaikh ‘Abdusshamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu karya Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir]

Untuk meraikan masyarakat sekarang yang kurang mahir membaca kitab jawi, maka karya agung ini telah ditransliterasi kepada tulisan rumi sepertimana yang diusahakan oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir. Ianya dikeluarkan dalam 3 jilid buku.

Manakala al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari juga menerbitkan semula karya agung tersebut dengan tulisan jawi terkini dan transliterasi rumi. Beliau juga telah mentahqiqkan kitab tersebut dengan menyempurnakan kalimat yang jatuh, membariskan teks ‘arab, mentakhrijkan hadits-hadits, membari rujukan ayat al-Quran dan sebagainya. Dan kitab ini telah beliau khatamkan dan diijazahkan pada pengajian di Masjid al-Falah, USJ 9 pada 24 Rajab 1429/27 Julai 2008.

Ulama besar Melayu, al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa al-Fathani, telah menulis sebuah puisi memuji kitab ini ketika beliau mentashhihkan kitab ini. Puisi beliau berbunyi begini ….. (Allahu Allah ... halus bahasa dan ibarat ulama besaq ni ....)

Hai saudara yang menu[n]tuti makrifat # dan kelebihan yang tinggi diakhirat
Tuntut olehmu [a]kan tasawuf kerana # ‘ilmunya [i]tulah mengangkatkan darjat

Sekelian ilmu lain itu jasad # ia nyawanya yang berikan manfaat
Serta akan ilmunya kamu itu, amal # maka jikalau tiada rugi amat

Baca kamu akan Hidaayah al-Saalikiin # yang melepas kamu dari sesat
Kitab ini banyak padanya faedah # serta ‘ibaratnya nyata lagi dekat

Ya Rabbana bagi muallifnya beri # rahmat, bagi kami berikan berkat

Pada bahagian belakang kitab ini juga terdapat sebuah lagi puisi karangan al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa al-Fathani yang agak panjang, al-Faqir ambil pada penghujungnya …

Mengaji kamu akn Hidaayah al-Saalikiin # yang menunjuk bagi kamu jalanraya
Kitab ini amat nyata padanya berkat # dan manfaat sangat rata dengan dia

Hamba tarikh akan tahun chapnya itu # boleh jua ma’lum bagi manusia
Dengan kata hamba “kaji kitab kiyai # ‘Abdusshamad telah baik thaba’ ia

Tahun 1298H




Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka



Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad




Judul: Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad
(فتح المنان ترجمة لصفوة الزبد لولي الله أحمد بن رسلان الدمشقي)
Kategori: Fiqih
Pengarang: Bahjah al-Din al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani Shahib al-Karamah al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani
Jumlah halaman: 486 halaman
Tarikh selesai dikarang: 1249H
Penerbit: Khazanah Fathaniyah
Tahun Penerbitan: 1425H/2004M
Size kitab: 21cm x 30cm

Kitab ini adalah sebuah kitab fiqih syafi’iyyah [juga terdapat bab tauhid dan tasawuf] yang diterjemah dan disyarahkan oleh ulama besar alam Melayu itu Bahjah al-Diin al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani Shahib al-Karamah al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani dari sebuah nazam yang dikenali dengan Matan Zubad. Matan Zubad adalah salah sebuah karya bahasa Arab dalam bentuk puisi yang mengandungi lebih daripada 1,000 bait yang sangat terkenal di seluruh dunia Islam. Sejak dari dahulu sehingga kini penghafalan Matan Zubad diberi penekanan oleh institusi-institusi tradisional Islam seperti di pondok-pondok atau pesantren-pesantren.

Matan Zubad adalah hasil karya Abu al-Abbas Ahmad ibn Hussein ibn Hasan ibn ‘Ali ibn Yusuf ibn ‘Ali ibn Arsalan al-Ramli [753H -844H]. Dikenali dengan Ibn Ruslan. Lahir di Ramlah, Palestin dan wafat di Baitulmaqdis, Palestin. Matan Zubad ini banyak disyarahkan oleh para ulama seperti Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-‘Allamah Syamsuddin al-Ramli, Mawahib al-Shomad fi Hal Alfaadz al-Zubad oleh Syaikh Ahmad al-Hijazi al-Fasyani, Ifaadah al-Saadah al-Umad bi Taqrir Ma’ani Nazam al-Zubad oleh al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Abd al-Baari al-Ahdal, Faidh al-Manan Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-‘Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad al-Bathah al-Ahdal dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu ada dua buah syarah, syarah pertama diselenggarakan al-‘Allamah Syaikh Daud ‘Abdullah al-Fathani yang diberi nama Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad dan kedua, diselenggarakan oleh Tuan Guru ‘Abdul Qadir Ismail al-Sanawi al-Fathani. Syarah yang kedua tidak sempat diselesaikan, masih berupa manuskrip.

Fath al-Mannan, diselesaikan di Makkah pada hari Ahad, 16 Ramadan 1249H bersamaan 27 Januari 1834M. Dicetak hampir seratus tahun setelah selesai penulisan, tepatnya pada 10 Sya'aban 1330H oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Dicetak atas usaha Syeikh 'Abdullah Daud, Syeikh Muhammad Nur Daud kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Ismail Daudi al-Fathani. Beberapa halaman bahagian akhir kitab ini dicetak juga satu risalah berjudul Muzakarah al-Ikhwan, juga karangan al-‘Allamah Syaikh Daud al-Fathani yang diselesaikan pada malam Isnin, 20 Ramadan 1249H/31 Januari 1834M, iaitu beberapa hari setelah diselesaikan kitab Fath al-Mannan.

Kandungan kitab Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad ini meliputi ilmu tauhid, fiqih dan tasawuf. Sebuah kitab yang indah gaya bahasa lagi padat isinya.


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka





al-Jawahir as-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah





Judul: al-Jawahir as-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah
( الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية)

Kategori: Aqidah/Feqah/Tasawwuf

Pengarang/Penterjemah: Al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani asy-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله

Tarikh selesai dikarang/diterjemah: Waktu Dhuha, hari Itsnain, 16 Jamadilawwal 1252H/1836M, di Thaif.

Kandungan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله:

"Dan adapun kemudian daripada itu, maka sungguhnya ini suatu terjemah yang tiada dapat tiada orang yang berkehendak bahgia dunianya dan akhiratnya daripada mengetahui ia akan dia daripada segala kanak-kanak yang mubtadi barang yang wajib bagi Allah Subhanahuwa Ta’ala dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya. Demikian lagi seperti demikian itu wajib pada hak segala pesuruhNya, demikian lagi wajib pula mereka itu barang yang ta’alluq dengan sam’iyyat dan demikian lagi tak dapat tiada daripada hukum furu’ syariat yang dituntut atas mukallaf daripada hukum ‘ibadat dan hukum mu’amalat dan barang yang bergantung dengan keduanya dan hukum berkahwin dan barang yang bergantung dengan dia dan hukum jinayah dan yang bergantung dengan dia dan hukum diat dan hudud dan sair dan jihad dan qadhi dan dakwa baiyinaat dan I’tiqad dan hukum suluk ila mulk al-muluk. Hamba sebutkan dengan jalan ikhshor sekira-kira dapat faham oleh mubtadi umum orang yang awam umat al-Muhammadiah yang munasabah bagi orang yang mubtadi yang dungu yang seumpama dengan yang menterjemahkan kitab ini yang bernama:
الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية
ertinya yang bernama terjemah ini jawaahirus saniyyah pada menyatakan beberapa i’tiqad yang tinggi yakni yang sebenar-benarnya dan beberapa hukum fiqhiyyah yang diredhaiNya yang disukakan Dia dan jalan suluk tariqat penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Kitab ini ditashhihkan dan dicetak oleh Syaikh Daud bin Ismail al-Fathoni berdasarkan kepada naskhah tulisan tangan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله. Walaupun kitab ini sudah berusia 180 tahun, namun ianya masih sangat-sangat relevan untuk dijadikan teks pengajian di masjid-masjid atau surau-surau, terutamannya di kala tersebarnya fahaman yang mengatakan Allah bertempat, anti-mazhab, anti tarekat tasauf dan sebagainya. Kitab ini adalah berteraskan kepada aqidah dan pegangan ahlussunnah wal jamaah.

Didalam kitab ini Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله ada menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat.

Mengenai orang yang mengatakan bahwa Allah Ta’ala bertempat, beliau berkata:

"Dan barangsiapa menghinggakan dzat Allah Ta’ala pada tempat maka tiada syak ia kafirnya seperti katanya Allah Ta’ala itu terhingga di atas langit atau pada bumi dan barangsiapa menyabitkan bagi Allah jihat (arah) dengan ketiadaan dihinggakan dengan tempat yang tertentu maka tiada kafir, tetapi fasiq jua seperti berkata ia, Allah pada langit atau pada bumi dengan tiada terhingga pada tempat dan atas yang demikian itu ……..
(Kata Imam) Syafi’e نور الله ضريحه barangsiapa meninggalkan 4 perkara ini sempurna imannya dian iaitu kam (كم) dan kaif (كيف) dan mata (متى) dan aina (أين). (Maka adapun) ‘kam’, maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan, maka jika dikata orang bagimu ‘كم الله’ yakni berapa Allah? Maka jawab olehmu Waahid yakni Esa pada dzatNYa dan pada sifatNya dan pada af’alNya. (Dan kaif) itu ditanya dengan dia daripada kaifiat, maka jika dikata orang bagimu ‘كيف الله؟’ yakni betapa Allah? Maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan haqiqat dzat Allah melainkan Ia jua. (Dan mata) itu tiada dengan Dia daripada zaman. Maka jika dikata orang bagimu ‘متى الله؟’ ertinya manakala di dapat allah? Maka jawab olehmu Allah itu awalNya tiada permulaan dan akhirnya tiada kesudahan. (Dan aina) tiada dengan Dia daripada makan (tempat). Maka jika dikatakan orang bagimu ‘أين الله؟’. Maka jawab olehmu, Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu atasNya masa, kerana zaman dan makan itu baharu keduanya ……"

Menurut beliau رحمه الله juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).

Kata beliau رحمه الله, pada halaman 34 – 35:

“Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat, lontarkanlah ia daripada dirimu.

“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”









Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka