Kitab Tauhid Yang Tersohor di Tanah Melayu dan juga Fathoni - Fariidah al-Faraaid fii Ilm al-‘Aqaaid
Data ringkas kitab:
Judul: Fariidah al-Faraaid fii Ilm al-‘Aqaaid
(فريدة الفرائد في علم العقائد)
Kategori: Tauhid
Pengarang: Al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani
Tarikh selesai dikarang: 12 Rabi’al-Awwal 1313H/1895M di Makkah.
Kitab ini dikarang oleh seorang ulama besar dari dunia Melayu yang bermustautin di Mekah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani. Kitab ini membicarakan ilmu tauhid atau usuluddin berdasarkan kepada aqidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, metod Imam Abu Hasan al-‘Asy’ari. Rujukan kitab ini adalah berdasarkan kitab-kitab turats yang dapat diperpegangi, samada dari ulama mu’tabar dunia Melayu mahupun ulama mu’tabar dari Timur Tengah.
Kitab ini selesai beliau tulis pada hari itsnin, 12 Rabi’al-Awwal 1313H pada waktu Dhuha. Kitab ini mempunyai pengaruh yang besar di Wilayah Fathani, Kedah dan Kelantan. Oleh kerana masyhurnya kitab Faridah ini, maka pengarangnya telah digelar dengan nama ‘Tuan Faridah’. Kebanyakkan para ulama atau tuan-tuan guru pondok akan megajarkan kitab ini untuk silibus tauhid. Bahkan dikatakan bahwa kitab ini tiada tandingannya dari sudut kemasyhurannya. Mereka juga mengatakan bahwa pada kitab ini mempunyai erti yang tersirat baik ditinjau dari segi susunan nahwu dan sharafnya maupun dari segi penafsiran secara bathin atau rahsia. Sehingga kini kitab ini dipelajari dan ditekuni oleh penuntut ilmu di pondok-pondok, masjid mahupun surau.
Kitab ini pernah diringkaskan oleh Tuan Guru Haji Nik ‘Abdullah al-Jambu Fathani, dan diberi nama Pati Rahsia. Ia juga pernah disyarahkan oleh seorang ulama Fathani yang bernama Tuan Guru Haji ‘Abdullah bin Haji Ibrahim bin ‘Abdul Karim al-Fathani al-Jabi, dan diberi judul ‘Umdah al-Thalib al-Mujtahid fii Syarh Fariidah al-Faraaid. Kitab syarah ini ditashhihkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji ‘Abdul Wahhab al-Fusani. [1902 – 1996. Murid Pa’ Da El al-Fathani al-Makki].
Kitab ini juga telahpun dirumikan oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah (beliau adalah cucu pengarang kitab dari sebelah ibunya iaitu Wan Zainab bin Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani), dan diberi judul Faridatul Faraid – Syeikh Ahmad al-Fathani – Aqidah Ahlus Sunnah wal Jammah Yang Sejati dan diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah.
Untuk menyemarakkan kembali tradisi ilmu berdasarkan kepada turats ulama dunia Melayu, maka pihak Khazanah al-Fathaniyah telah mengusahakan projek Wakaf Kitab, dimana dikitab ini boleh dibeli dan kemudiannya diserahkan kembali untuk diwakafkan ke pondok-pondok pengajian di Malaysia, Fathani dan Kemboja.
Cetakan awal kitab ini ialah pada tahun 1313H oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Ini bermakna kitab ini sudah berusia 122 tahun. Namun ianya masih segar, relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan kepada generasi kini didalam ilmu aqidah.
Sedutan dari kitab:-
Pada bahagian kulit kitab:
"Ini risalah yang amat kecil yang dinamakan dia dengan FARIDAH AL-FARAAID FII ILM AL-‘AQAID pada bicara tauhid iaitu ilmu ushuluddin atas mazhab Imam Asy’ari. Berhimpun padanya beberapa banyak ‘aqidah dan beberapa masalah yang tak dapat tiada bagi tiap-tiap orang yang mukallaf daripada mengetahui akan dia dan i’tiqad akan dia, istimewa bagi orang yang baharu belajar pada ilmu ini bahkan ia peringatan bagi orang yang pertengahan padanya. Dan adalah ia risalah yang suci daripada segala campuran bicara yang lain daripada ilmu ini dan bersih daripada segala ‘ibarat yang lebih-lebih, maka mudah mengertikan dia ان شاء الله تعالى atas yang mengajinya dan yang muthala’ahnya. Himpunan hamba yang sangat harap daripada Allah Ta’ala akan taufiq dan hidayah. Dan bahwa dimudahkan baginya segala yang payah.
Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa bin Muhammad al-Fathani خضر الله تعالى رياض رجاه ببلوغ الأماني.
ونفع بهذه الرسالة المسلمين آمين
Bahgian muqaddimah kitab
بسم الله الرحمن الرحيم. Puji itu bagi Allah, yang menaikkan pada beberapa langit segala hati orang mu’minin, akan beberapa matahari pengenalan. Padahal cemerlang ia dengan cahaya tauhid dan yaqin.
Dan rahmat dan sejahtera atas juru bahasa ketuhananNya dan yang menu[n]juk kepada keEsaanNya [iaitu] penghulu kita Nabi Muhammad [صلى الله عليه وآله وسلم] yang dibangkitkan dengan mu’jizat yang mengalahi kerana me[ng]uatkan risalahNya dan membenarkan penu[n]jukNya.
Dan atas keluargannya yang sampai mereka itu kepada beberapa pangkat yang tinggi dengan ketinggian kadarnya. Dan segala taulannya [shahabatnya] yang gilang-gemilang, hal keadaan mereka itu seperti segala bintang penu[n]juk dengan nash sabdanya.
Kemudian dari itu, maka inilah risalah pada ilmu tauhid, aku himpunkan dia daripada beberapa kitab yang dii’tibarkan. Aku ambil daripada kebunnya akan buah-buahan yang diinginkan dan daripada beberapa lautnya akan beberapa permata yang megah.
Maka datang ia dengan kepujian Allah Ta’ala iaitu ‘aqidah yang sebenar yang elok cahayanya, lagi mengandung i’tiqad ahli sunnah. Dan ketetapan penu[n]juk yang diam pada hati orang yang mu’min. aku lindungkan dia dengan Allah Ta’ala daripada i’tiradh yang diserupakan dengan syaitan………..
Marilah kitab kembali menekuni kitab turats tulisan ulama alam Melayu. Disana ada ilmu yang tersurat dan tersirat...........
sekian dari,
abuzahrah al-qadahi
Sumber dari Facebook:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan