Blog Utama Saya :-

Rabu, 15 Oktober 2014

al-Jawahir as-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah





Judul: al-Jawahir as-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah
( الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية)

Kategori: Aqidah/Feqah/Tasawwuf

Pengarang/Penterjemah: Al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani asy-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله

Tarikh selesai dikarang/diterjemah: Waktu Dhuha, hari Itsnain, 16 Jamadilawwal 1252H/1836M, di Thaif.

Kandungan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله:

"Dan adapun kemudian daripada itu, maka sungguhnya ini suatu terjemah yang tiada dapat tiada orang yang berkehendak bahgia dunianya dan akhiratnya daripada mengetahui ia akan dia daripada segala kanak-kanak yang mubtadi barang yang wajib bagi Allah Subhanahuwa Ta’ala dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya. Demikian lagi seperti demikian itu wajib pada hak segala pesuruhNya, demikian lagi wajib pula mereka itu barang yang ta’alluq dengan sam’iyyat dan demikian lagi tak dapat tiada daripada hukum furu’ syariat yang dituntut atas mukallaf daripada hukum ‘ibadat dan hukum mu’amalat dan barang yang bergantung dengan keduanya dan hukum berkahwin dan barang yang bergantung dengan dia dan hukum jinayah dan yang bergantung dengan dia dan hukum diat dan hudud dan sair dan jihad dan qadhi dan dakwa baiyinaat dan I’tiqad dan hukum suluk ila mulk al-muluk. Hamba sebutkan dengan jalan ikhshor sekira-kira dapat faham oleh mubtadi umum orang yang awam umat al-Muhammadiah yang munasabah bagi orang yang mubtadi yang dungu yang seumpama dengan yang menterjemahkan kitab ini yang bernama:
الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية
ertinya yang bernama terjemah ini jawaahirus saniyyah pada menyatakan beberapa i’tiqad yang tinggi yakni yang sebenar-benarnya dan beberapa hukum fiqhiyyah yang diredhaiNya yang disukakan Dia dan jalan suluk tariqat penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Kitab ini ditashhihkan dan dicetak oleh Syaikh Daud bin Ismail al-Fathoni berdasarkan kepada naskhah tulisan tangan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله. Walaupun kitab ini sudah berusia 180 tahun, namun ianya masih sangat-sangat relevan untuk dijadikan teks pengajian di masjid-masjid atau surau-surau, terutamannya di kala tersebarnya fahaman yang mengatakan Allah bertempat, anti-mazhab, anti tarekat tasauf dan sebagainya. Kitab ini adalah berteraskan kepada aqidah dan pegangan ahlussunnah wal jamaah.

Didalam kitab ini Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله ada menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat.

Mengenai orang yang mengatakan bahwa Allah Ta’ala bertempat, beliau berkata:

"Dan barangsiapa menghinggakan dzat Allah Ta’ala pada tempat maka tiada syak ia kafirnya seperti katanya Allah Ta’ala itu terhingga di atas langit atau pada bumi dan barangsiapa menyabitkan bagi Allah jihat (arah) dengan ketiadaan dihinggakan dengan tempat yang tertentu maka tiada kafir, tetapi fasiq jua seperti berkata ia, Allah pada langit atau pada bumi dengan tiada terhingga pada tempat dan atas yang demikian itu ……..
(Kata Imam) Syafi’e نور الله ضريحه barangsiapa meninggalkan 4 perkara ini sempurna imannya dian iaitu kam (كم) dan kaif (كيف) dan mata (متى) dan aina (أين). (Maka adapun) ‘kam’, maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan, maka jika dikata orang bagimu ‘كم الله’ yakni berapa Allah? Maka jawab olehmu Waahid yakni Esa pada dzatNYa dan pada sifatNya dan pada af’alNya. (Dan kaif) itu ditanya dengan dia daripada kaifiat, maka jika dikata orang bagimu ‘كيف الله؟’ yakni betapa Allah? Maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan haqiqat dzat Allah melainkan Ia jua. (Dan mata) itu tiada dengan Dia daripada zaman. Maka jika dikata orang bagimu ‘متى الله؟’ ertinya manakala di dapat allah? Maka jawab olehmu Allah itu awalNya tiada permulaan dan akhirnya tiada kesudahan. (Dan aina) tiada dengan Dia daripada makan (tempat). Maka jika dikatakan orang bagimu ‘أين الله؟’. Maka jawab olehmu, Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu atasNya masa, kerana zaman dan makan itu baharu keduanya ……"

Menurut beliau رحمه الله juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).

Kata beliau رحمه الله, pada halaman 34 – 35:

“Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat, lontarkanlah ia daripada dirimu.

“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”









Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka


Tiada ulasan:

Catat Ulasan