Blog Utama Saya :-

Rabu, 15 Oktober 2014

Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad




Judul: Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad
(فتح المنان ترجمة لصفوة الزبد لولي الله أحمد بن رسلان الدمشقي)
Kategori: Fiqih
Pengarang: Bahjah al-Din al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani Shahib al-Karamah al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani
Jumlah halaman: 486 halaman
Tarikh selesai dikarang: 1249H
Penerbit: Khazanah Fathaniyah
Tahun Penerbitan: 1425H/2004M
Size kitab: 21cm x 30cm

Kitab ini adalah sebuah kitab fiqih syafi’iyyah [juga terdapat bab tauhid dan tasawuf] yang diterjemah dan disyarahkan oleh ulama besar alam Melayu itu Bahjah al-Diin al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani Shahib al-Karamah al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani dari sebuah nazam yang dikenali dengan Matan Zubad. Matan Zubad adalah salah sebuah karya bahasa Arab dalam bentuk puisi yang mengandungi lebih daripada 1,000 bait yang sangat terkenal di seluruh dunia Islam. Sejak dari dahulu sehingga kini penghafalan Matan Zubad diberi penekanan oleh institusi-institusi tradisional Islam seperti di pondok-pondok atau pesantren-pesantren.

Matan Zubad adalah hasil karya Abu al-Abbas Ahmad ibn Hussein ibn Hasan ibn ‘Ali ibn Yusuf ibn ‘Ali ibn Arsalan al-Ramli [753H -844H]. Dikenali dengan Ibn Ruslan. Lahir di Ramlah, Palestin dan wafat di Baitulmaqdis, Palestin. Matan Zubad ini banyak disyarahkan oleh para ulama seperti Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-‘Allamah Syamsuddin al-Ramli, Mawahib al-Shomad fi Hal Alfaadz al-Zubad oleh Syaikh Ahmad al-Hijazi al-Fasyani, Ifaadah al-Saadah al-Umad bi Taqrir Ma’ani Nazam al-Zubad oleh al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Abd al-Baari al-Ahdal, Faidh al-Manan Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-‘Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad al-Bathah al-Ahdal dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu ada dua buah syarah, syarah pertama diselenggarakan al-‘Allamah Syaikh Daud ‘Abdullah al-Fathani yang diberi nama Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad dan kedua, diselenggarakan oleh Tuan Guru ‘Abdul Qadir Ismail al-Sanawi al-Fathani. Syarah yang kedua tidak sempat diselesaikan, masih berupa manuskrip.

Fath al-Mannan, diselesaikan di Makkah pada hari Ahad, 16 Ramadan 1249H bersamaan 27 Januari 1834M. Dicetak hampir seratus tahun setelah selesai penulisan, tepatnya pada 10 Sya'aban 1330H oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Dicetak atas usaha Syeikh 'Abdullah Daud, Syeikh Muhammad Nur Daud kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Ismail Daudi al-Fathani. Beberapa halaman bahagian akhir kitab ini dicetak juga satu risalah berjudul Muzakarah al-Ikhwan, juga karangan al-‘Allamah Syaikh Daud al-Fathani yang diselesaikan pada malam Isnin, 20 Ramadan 1249H/31 Januari 1834M, iaitu beberapa hari setelah diselesaikan kitab Fath al-Mannan.

Kandungan kitab Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad ini meliputi ilmu tauhid, fiqih dan tasawuf. Sebuah kitab yang indah gaya bahasa lagi padat isinya.


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka





Tiada ulasan:

Catat Komen