Blog Utama Saya :-

Rabu, 15 Oktober 2014

Hidaayah al-Saalikiin fi Suluuki Maslak al-Muttaqiin




Data ringkas kitab:

Judul: Hidaayah al-Saalikiin fi Suluuki Maslak al-Muttaqiin
(هداية السالكين في سلوك مسلك المتقين)
Kategori: Tasawuf
Pengarang: Al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani
Jumlah halaman: 115 halaman [ini versi cetakan milik al-faqir. Cetakan Matba’ah Musthafa al-Bab al-Halabi wa Auladuhu, Mesir; Jumada al-Tsani 1341H. Versi ini ditashhiihkan oleh al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada cetakan ini digabungkan dengan kitab al-Durr al-Nafis dibahagian tepi kitab]
Tarikh selesai dikarang: 1192H/1778M

Karya agung tasawwuf yang sangat terkenal dan berpengaruh di Nusantara ini, dikarang oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani. Walaupun usia kitab ini sudah mencecah hampir 243 tahun, namun ianya masih tetap dikaji dan dipelajari di Nusantara. Ianya masih diajar dimana-mana, walaupun ada usaha untuk mengharamkan kitab yang bermanfaat ini. Isi kandungnya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini.

Ada yang mengatakan bahwa kitab ini adalah terjemahan bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, namun bagi al-Faqir asasnya sahaja daripada kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, tetapi dalam menghuraikannya pengarang telah merujuk lebih daripada 20 buah kitab. Maka pada al-Faqir selayaknya kitab ini dikatakan syarh bagi Bidayah al-Hidayah.

Antara kitab yang menjadi rujukan pengarang adalah: Minhaj al-‘Abidin - Imam al-Ghazali; Ihya` Ulumiddin - Imam al-Ghazali; Al-Arbain fi Usuliddin - Imam al-Ghazali; Al-Yawaqit wa al-Jawahir - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Durar al-Jawahir - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; ‘Uhud al-Muhammadiah - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Hikam Ibn ‘Athoillah; Ghaits al-Mawahib al-‘Aliyah fi Syarh al-Hikam al-‘Athoiyyah - Ibn ‘Abbad; Miftah al-Falah - Ibn ‘Athoillah; Al-Tanwir fi Isqati al-Tadbir - Ibn ‘Athoillah; Al-Durruts Tsamin - Habib ‘Abdul Qadir al-‘Aidarus; ‘Umdah al-Muhtajin - Syaikh ‘Abdurrauf al-Fanshuri; ‘Awariful Ma’arif – Sahruwardi; Risalah al-Qusyairiyah – Syaikh ‘Abdul Karim al-Qusyairi; ‘Urwatul Wuthqa – Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani; Nafahat al-Ilahiyyah - Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani; Bustan al-‘Ariffin – Syaikh Ahmad al-Qusyasyi; Iqadz al-Qawabil – Syaikh Ibrahim al-Kurdi; Nashoih al-Diniyyah – Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad; Syarh Bidayah al-Hidayah – Syaikh ‘Abdul Qadir al-Faqihi; Al-Tarsyih fi Shalat al-Tasbih – Syaikh Tajuddin al-Subki; Syarh al-Raudhah – Syaikh Zakaria al-Anshari; Syarh Matn Jauharah al-Tauhid – Syaikh Abdul Mu’ti; Minhaj al-Salik – Syaikh ‘ali al-Mursafi. [maklumat ini dipetik dari buku Syaikh ‘Abdusshamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu karya Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir]

Untuk meraikan masyarakat sekarang yang kurang mahir membaca kitab jawi, maka karya agung ini telah ditransliterasi kepada tulisan rumi sepertimana yang diusahakan oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir. Ianya dikeluarkan dalam 3 jilid buku.

Manakala al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari juga menerbitkan semula karya agung tersebut dengan tulisan jawi terkini dan transliterasi rumi. Beliau juga telah mentahqiqkan kitab tersebut dengan menyempurnakan kalimat yang jatuh, membariskan teks ‘arab, mentakhrijkan hadits-hadits, membari rujukan ayat al-Quran dan sebagainya. Dan kitab ini telah beliau khatamkan dan diijazahkan pada pengajian di Masjid al-Falah, USJ 9 pada 24 Rajab 1429/27 Julai 2008.

Ulama besar Melayu, al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa al-Fathani, telah menulis sebuah puisi memuji kitab ini ketika beliau mentashhihkan kitab ini. Puisi beliau berbunyi begini ….. (Allahu Allah ... halus bahasa dan ibarat ulama besaq ni ....)

Hai saudara yang menu[n]tuti makrifat # dan kelebihan yang tinggi diakhirat
Tuntut olehmu [a]kan tasawuf kerana # ‘ilmunya [i]tulah mengangkatkan darjat

Sekelian ilmu lain itu jasad # ia nyawanya yang berikan manfaat
Serta akan ilmunya kamu itu, amal # maka jikalau tiada rugi amat

Baca kamu akan Hidaayah al-Saalikiin # yang melepas kamu dari sesat
Kitab ini banyak padanya faedah # serta ‘ibaratnya nyata lagi dekat

Ya Rabbana bagi muallifnya beri # rahmat, bagi kami berikan berkat

Pada bahagian belakang kitab ini juga terdapat sebuah lagi puisi karangan al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa al-Fathani yang agak panjang, al-Faqir ambil pada penghujungnya …

Mengaji kamu akn Hidaayah al-Saalikiin # yang menunjuk bagi kamu jalanraya
Kitab ini amat nyata padanya berkat # dan manfaat sangat rata dengan dia

Hamba tarikh akan tahun chapnya itu # boleh jua ma’lum bagi manusia
Dengan kata hamba “kaji kitab kiyai # ‘Abdusshamad telah baik thaba’ ia

Tahun 1298H




Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka



Tiada ulasan:

Catat Ulasan