Blog Utama Saya :-

Ahad, 27 September 2015

KITAB BAKURAH AL-AMANI







KITAB BAKURAH AL-AMANI
Merupakan kitab yang sering di ajar oleh Tuan Guru Haji Salleh Bin Musa di Madrasah Ar-Rahmaniah. Kitab ini dikarang oleh Syeikh Wan Ismail Bin Wan Abdul Qadir (Pak Da 'Eil) yang juga guru kepada Tuan Guru Baba Hj Salleh Bin Musa. Maka Tuan Guru Baba merupakan generasi terawal memperolehi sanad kitab ini.
Pak Da 'Eil menulis semula kitab ini dengan niat mempermudah bahasa kitab “Faridat al Faraid” di samping untuk menghidupkan lahjah Patani. Asal nama kitab Bakuroh ialah Bakuroh Al-Amani Li Isyarati ‘Awwam Ahl Al-Fathoni. Kerana Kitab ini menjadi masyhur di Fathoni, Malaysia, dan Indonesia maka nama kitab ini dibuang dibelakang dan dikekalkan hanya nama Bakuroh Al-Amani kerana nama yang asal seakan-akan bersifat ‘ashobiyyah.
Kitab ini begitu digeruni dikalangan penuntut-penuntut ilmu di pondok kerana sesiapa yang tidak pernah belajar thoriq Pak Da ‘El walaupun dia adalah seorang Tok Guru maka dia tidak berani baca kitab Bakuroh Al-Amani ini. Maksud Bakuroh Al-Amani ialah permulaan segala yang dicita. Bakuroh dari segi bahasa ialah awwal al-fakihah yakni buah mula-mula.
ASAL USUL BAKURAH AL-AMANI
Pada 1335H, Pak Da ‘El ziarah ke negeri Kedah di daerah Pendang, Kampung Tobir dan menjadi tetamu di rumah Hj Ahmad Pauh Bendang Jelapang Al-Fathoni (Tok Pauh) salah seorang murid beliau ketika belajar di Makkah. Hj Ahmad ada seorang sahabat yang bernama Hj Hassan yang belajar di Pondok sekitar Pendang. Hj Hassan kurang faham dan tidak dapat menguasai ilmu tauhid dengan sempurna kerana kurang faham dengan pembahasan kitab-kitab lama dulu.
Hj Ahmad merasakan peluang paling baik untuk membantu rakannya Hj Hassan dapat kuasai ilmu tauhid dengan mantap, maka Hj Ahmad memohon perkenan dari gurunya Pak Da ‘El untuk buatkan ringkasan ilmu tauhid yang mudah untuk difahami oleh sahabatnya Hj Hassan
Maka Pak Da ‘El pun bersetuju untuk buat sedikit rumusan untuk Hj Hassan. Lebih kurang 2 ke 3 hari catatan rumusan yang dibuat oleh guru mulia selesai dengan izin Allah. Selepas Tuan Guru menulis matan /rumusan ilmu tauhid, maka catatan itu diserah kepada Hj Hassan.
Hj Hassan bawa matan itu pulang ke pondok beliau. Pelajar-pelajar pondok melihat matan yang Tuan Guru tulis kepada Hj Hassan. Maka mereka berpendapat bahawa karangan Tuan Guru bertentangan dengan kitab tauhid yang pernah dikarang ulama melayu dulu di beberapa tempat, antaranya:-
1. Nama bagi sifat-sifat Ma’ani ditukar kepada “pe” seperti pekuasa, pendengar pelihat.
2. Sifat Salbiyyah dengan makna ternafi. Kitab lama ditulis dengan “menafi”
3. Istihalatul Mustahil
4. Hukum aqal kena kepada wujub, istihalah, dan jawaz bukannya wajib,mustahil, jaiz, (yang ni kena kepada muta’allaq)

Antara yang pelajar yang i’tiradh Pak Da ‘El ketika itu ialah Hj Ahmad Pauh Bendang Jelapang. Pak Da ‘El suka anak murid beliau yang melawan beliau sebab baginya itu tandanya anak murid beliau seorang yang cerdik.
Kebetulan takdir Allah Ta’ala, Tuan Guru masih berada di Kedah. Pelajar-pelajar pondok pergi mengadap Tuan Guru untuk mendapat penjelasan. Maka Tuan Guru pun menerangkan dengan terang sejelas-jelasnya kepada para pelajar tersebut. Selepas itu terpaksalah mereka membenarkan hujah Pak Da ‘El dan menjoloki tuan guru dengan gelaran TOKOH USULUDDIN TERKENAL MAKKAH “PAK DA ‘EL FATANI”
Selepas bertahun-tahun berlalu, di atas kesedaran betapa pentingnya syarahan tokoh tauhid ini. Maka pelajar-pelajar tadi memohon agar Tuan Guru menulis sebuah kitab tauhid khusus bagi mensyarahkan maksud yang Tuan Guru tulis untuk Hj Hassan tersebut. Pada ketika itu, Tuan Guru sudah berada di Makkah dan beliau menunaikan hajat permintaan tersebut. Maka kini usia kitab BAKURAH AL-AMANI (pada tahun 2015) adalah 101 tahun.
Berkata Tuan Guru Hj Salleh bin Musa yang merupakan anak murid Pak Da ‘El dan pemegang sanad pengajian kitab ini, “kalau kita dapat kuasai Bakurah, Insyallah kita dapat faham ilmu tauhid kerana Bakurah serupa dengan matan yang perlu kita ambil matan itu untuk karang kitab lain. Pokoknya semua isi ilmu tauhid sudah lengkap dalam Bakurah. Kalau boleh kuasai Bakurah maka kita dalami kitab tauhid lain akan mudah”
Kita masih mempunyai peluang untuk mendapatkan sanad kitab ini melalui Tuan Guru Haji Salleh Bin Musa. Kuliah kitab ini berlangsung pada setiap hari Jumaat pagi di Madrasah.


Tiada ulasan:

Catat Komen