Blog Utama Saya :-

Sabtu, 12 Disember 2015

Hidaayah al-Saalikiin fi Suluuki Maslak al-Muttaqiin







Mengenai kitab warisan yang berkat ini alfagir pernah menulisnya diblog alfagir - pustaka al-fanshuri pada 26 november 2008. Dan hari ini tulisan ini dikongsikan kembali di fb ini kerana ada suara-suara sumbang yang mengatakan kitab ini ada unsur yang menyesatkan. Cukuplah dengan pengiktirafan ulama besar alam melayu di bumi Makkah iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zein Al Fathani رحمه الله ke atas kitab ini sebagai bukti kebenarannya ...jangan kerna kedangkalan ilmu kita menolaknya ...dan seperkara yg ingin dikongsikan bhw penulis ktb tersebut yakni Syeikh Abdus Shomad Al Falimbani diakui keilmuannya oleh ulama-ulama besar yang yg berketurunan arab dan selainnya di haromain dan juga beliau juga masyhur dipuji ke'alimannya di Zabid oleh Saadah Ahdaliyyah.
Inilah catatan hamba dulu ....
Data ringkas kitab:
Judul: Hidaayah al-Saalikiin fi Suluuki Maslak al-Muttaqiin
(هداية السالكين في سلوك مسلك المتقين)
Kategori: Tasawuf
Pengarang: Al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani رحمه الله تعالى
Jumlah halaman: 115 halaman [ini versi cetakan milik al-faqir. Cetakan Matba’ah Musthafa al-Bab al-Halabi wa Auladuhu, Mesir; Jumada al-Tsani 1341H. Versi ini ditashhiihkan oleh al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada cetakan ini digabungkan dengan kitab al-Durr al-Nafis dibahagian tepi kitab]
Tarikh selesai dikarang: 1192H/1778M
Karya agung tasawwuf yang sangat terkenal dan berpengaruh di Nusantara ini, dikarang oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh ‘Abdusshamad al-Falimbani. Walaupun usia kitab ini sudah mencecah hampir 237 tahun, namun ianya masih tetap dikaji dan dipelajari di Nusantara. Ianya masih diajar dimana-mana, walaupun ada usaha untuk mengharamkan kitab yang bermanfaat ini. Isi kandungnya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini.
Ada yang mengatakan bahwa kitab ini adalah terjemahan bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, namun bagi al-Faqir asasnya sahaja daripada kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, tetapi dalam menghuraikannya pengarang telah merujuk lebih daripada 20 buah kitab. Maka pada al-Faqir selayaknya kitab ini dikatakan syarh bagi Bidayah al-Hidayah.
Antara kitab yang menjadi rujukan pengarang adalah: Minhaj al-‘Abidin - Imam al-Ghazali; Ihya` Ulumiddin - Imam al-Ghazali; Al-Arbain fi Usuliddin - Imam al-Ghazali; Al-Yawaqit wa al-Jawahir - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Durar al-Jawahir - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; ‘Uhud al-Muhammadiah - Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Hikam Ibn ‘Athoillah; Ghaits al-Mawahib al-‘Aliyah fi Syarh al-Hikam al-‘Athoiyyah - Ibn ‘Abbad; Miftah al-Falah - Ibn ‘Athoillah; Al-Tanwir fi Isqati al-Tadbir - Ibn ‘Athoillah; Al-Durruts Tsamin - Habib ‘Abdul Qadir al-‘Aidarus; ‘Umdah al-Muhtajin - Syaikh ‘Abdurrauf al-Fanshuri; ‘Awariful Ma’arif – Sahruwardi; Risalah al-Qusyairiyah – Syaikh ‘Abdul Karim al-Qusyairi; ‘Urwatul Wuthqa – Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani; Nafahat al-Ilahiyyah - Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani; Bustan al-‘Ariffin – Syaikh Ahmad al-Qusyasyi; Iqadz al-Qawabil – Syaikh Ibrahim al-Kurdi; Nashoih al-Diniyyah – Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad; Syarh Bidayah al-Hidayah – Syaikh ‘Abdul Qadir al-Faqihi; Al-Tarsyih fi Shalat al-Tasbih – Syaikh Tajuddin al-Subki; Syarh al-Raudhah – Syaikh Zakaria al-Anshari; Syarh Matn Jauharah al-Tauhid – Syaikh Abdul Mu’ti; Minhaj al-Salik – Syaikh ‘ali al-Mursafi. [maklumat ini dipetik dari buku Syaikh ‘Abdusshamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu karya Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir]
Untuk meraikan masyarakat sekarang yang kurang mahir membaca kitab jawi, maka karya agung ini telah ditransliterasi kepada tulisan rumi sepertimana yang diusahakan oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir. Ianya dikeluarkan dalam 3 jilid buku.
Manakala al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari juga menerbitkan semula karya agung tersebut dengan tulisan jawi terkini dan transliterasi rumi. Beliau juga telah mentahqiqkan kitab tersebut dengan menyempurnakan kalimat yang jatuh, membariskan teks ‘arab, mentakhrijkan hadits-hadits, membari rujukan ayat al-Quran dan sebagainya. Dan kitab ini telah beliau khatamkan dan diijazahkan pada pengajian di Masjid al-Falah, USJ 9 pada 24 Rajab 1429/27 Julai 2008.
Ulama besar Melayu, al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa al-Fathani, telah menulis sebuah puisi memuji kitab ini ketika beliau mentashhihkan kitab ini. Puisi beliau berbunyi begini …..
Hai saudara yang menu[n]tuti makrifat # dan kelebihan yang tinggi diakhirat
Tuntut olehmu [a]kan tasawuf kerana # ‘ilmunya [i]tulah mengangkatkan darjat
Sekelian ilmu lain itu jasad # ia nyawanya yang berikan manfaat
Serta akan ilmunya kamu itu, amal # maka jikalau tiada rugi amat
Baca kamu akan Hidaayah al-Saalikiin # yang melepas kamu dari sesat
Kitab ini banyak padanya faedah # serta ‘ibaratnya nyata lagi dekat
Ya Rabbana bagi muallifnya beri # rahmat, bagi kami berikan berkat
Pada bahagian belakang kitab ini juga terdapat sebuah lagi puisi karangan al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa al-Fathani yang agak panjang, al-Faqir ambil pada penghujungnya …
Mengaji kamu akn Hidaayah al-Saalikiin # yang menunjuk bagi kamu jalanraya
Kitab ini amat nyata padanya berkat # dan manfaat sangat rata dengan dia
Hamba tarikh akan tahun chapnya itu # boleh jua ma’lum bagi manusia
Dengan kata hamba “kaji kitab kiyai # ‘Abdusshamad telah baik thaba’ ia
Tahun 1298H
salam hormat dari,
~abu zahrah~


------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pencerahan tentang tuduhan Wihdatul Wujud dalam kitab Hidayatus Salikin.
Allaahumma hidayaatan lish showaab (Ya Allah, berilah petunjuk kepada kami kepada kebenaran).
(1) Fatwa tersebut boleh dirujuk semula dengan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) terkini atau para mufti yang AHLI dalam bidang tasawuf.
(2) Jika sesat kitab Hidayatus Salikin (HS), sesatlah juga Syaikh Abdus Somad al-Falimbani sedangkan beliau diakui ilmunya dalam syariat dan hakikat & sesat jugalah Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki yang terkenal dengan ilmu dan tawaduk serta jasanya dalam bidang agama di Malaysia & Indonesia diakui. Syaikh Ahmad Fahmi yang telah mentahqiq kitab HS, malah menerbit dan mengajarkannya serta banyak kali mengkhatamkannya, juga adalah ketua ulama Nahdhatul Ulama di provinsi/daerah beliau. Lihatlah juga karangan2 beliau yang dibaca dan dimanfaatkan di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja dll. Demikian juga, jika kitab ini sesat, sesatlah semua masyaikh dan asatizah yang mengajar kitab HS dari dahulu hingga sekarang.
(3) Kitab HS telah berusia 230 lebih tahun dan masih diajar sehingga sekarang. Itu tandanya ia diterima di sisi Allah.
(4) Berapa ramai orang yang sudah menjadi orang soleh malah menjadi auliya' (para wali Allah) kerana beramal dengan isi kandungan kitab HS ini.
(5) Fahaman Wihdatul Wujud (WW) yang sebenar dalam sufi yang benar, bukan seperti yang difaham oleh orang awam yang tidak pernah/kurang tahu dengan sufi dan kesufian. WW dalam dunia sufi ialah MERASAKAN keberadaan/keagungan/kebesaran/haibah/'azhamah Allah yang sangat2 dekat/hampir dalam diri kerana yang empunya diri melazimkan/istiqamah/mudawamah/muwazhabah dalam zikir lidah & hati, khafi & sirri, membaca al-Quran, selawat...menghadiri majlis2 ilmu/selawat, mujalasah bersama orang2 soleh & semua kebaikan... Bukan mendakwa ALLAH BERSATU DGN DIRI/MAKHLUK. Jika berfahaman sebegini, ITTIFAQ (sepakat) ULAMA MENGATAKAN IA HARAM. WW jenis inilah yang diharamkan oleh MFK.
(6) Sesiapa yg membaca kitab HS tahu bahawa pada permulaan kitab, Syaikh Abdus Somad al-Falimbani MEMBAHAS DAHULU aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah aliran 'Asya'irah Sifat 20 yang menTANZIHkan (MENYUCIKAN Allah daripada SERUPA DGN MAKHLUK). Ini BUKTI JELAS beliau beraqidah yang benar (ASWJ) dan tidak berfahaman Wihdatul Wujud yang sesat. Fahamilah perkara ini sewajarnya. Fa ta'ammaluu...
(7) Kitab HS (versi Bahasa Melayu) mengandungi perbahasan tentang Aqidah ASWJ (ms. 21-29), Taat & ibadah yang zahir (31-177), Menjauhi maksiat yang zahir (180-214), Menjauhi maksiat yang batin/hati (216-258), Taat yang batin/hati (260-302), Fadhilat, adab & cara berzikir (304-330), Adab Bersahabat Dengan Allah (maksudnya cara untuk MENGHAMPIRKAN diri kepada Allah atau cara untuk MERASAKAN DEKATNYA ALLAH dalam diri, BUKAN bermaksud ALLAH MASUK DALAM DIRI) (332-337), Adab orang yang berilmu (338-340), Adab orang yang belajar (341-342), Adab terhadap ibu bapa (343-344), Adab terhadap sahabat/teman (345-352), Adab dengan orang yang dikenali (354-362), Adab dengan orang Islam secara umum (362), Pesanan terakhir Imam Al-Ghazali (364-367) dan Pesanan terakhir Syaikh Abdus Somad al-Falimbani (370-371). Semua tajuk ini membawa pembacanya untuk ingat kepada Allah dan berusaha untuk dekat kepada-Nya dengan ketaatan yang zahir dan batin, di samping berusaha menjauhi tegahan dan larangan-Nya, secara zahir dan batin pula. Jika dikatakan 'mungkin' 'ada unsur wihdatul wujud' dalam kitab HS pada beberapa helaian dalam tajuk "Adab bersahabat dengan Allah", sebenarnya 'wihdatul wujud' yang didakwa itu BUKANLAH bermaksud MAKHLUK BERSATU DENGAN ALLAH yang jelas haram, tetapi PERASAAN INSAN YANG MERASAKAN ALLAH SANGAT HAMPIR dalam dirinya. Bertanyalah kepada guru sufi atau orang alim yang AHLI dalam bidang tasawuf untuk perkara ini.
(8) Baca dahulu isi kandungan kitab HS dari kulit ke kulit sampai khatam dengan guru yang AHLI dan tahu tentang tasawuf supaya mendapat penjelasan yang tahqiq (benar). JANGAN sekali2 bertanya kepada orang yang memusuhi tasawuf dan ulama sufi.
(9) Kitab HS adalah terjemahan dan tambahan Syaikh Abdus Somad al-Falimbani ke atas kitab Bidayatul Hidayah (BH) karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali. Orang yang mengatakan sesat kitab BH adalah tanda kekurangan ilmu dan cederanya adab orang tersebut.
(10) Imam al-Ghazali mengatakan: Jangan salah dalam memahami perkataan/ucapan ahli sufi kerana ia mengandungi makna tersurat & tersirat.
(11) Mengatakan sesat kitab HS, samalah mengatakan sesat kepada jutaan ulama & orang2 soleh malah para auliya' (wali Allah) yang belajar dan mengamalkan isi kandungan kitab HS sejak zaman Syaikh Abdus Somad al-Falimbani sehingga sekarang, yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia.
Ingatlah ...
(i) Kaedah: Menuduh orang lain sesat, sedangkan orang yang dituduh tidak sesat, maka sesat akan kembali kepada orang yang menuduh tadi.
(ii) Menuduh orang lain sesat adalah suatu dosa. Hendaklah meminta maaf kepada orang yang dituduh. Jika yang dituduh masih hidup, insyaAllah boleh dicari. Jika sudah meninggal dunia...?
Allaahummahdil qaaum, fa innahum laa ya'lamuun.
(Al-Faqir ilallaahil Qadiir, Ustaz Muhadir bin Haji Joll, Selasa, 26 Safar 1437H/8 Disember 2015M, 9.45 malam)








Tiada ulasan:

Catat Komen